• Akademi Pengajian Melayu
  • apm@um.edu.my
  • 03-79677200
logo
logo

Bismillahhir-Rahmanir-Rahim 
Assalammualaikum W.B.T

Segala puji bagi Allah SWT atas limpah rahmat dan kurnia-Nya, Akademi Pengajian Melayu (APM) terus diberi kekuatan untuk melangkah maju sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan ketamadunan Melayu di mata dunia.

Sejak penubuhannya pada tahun 1990, APM telah berkembang daripada sebuah pusat penyelidikan dan dokumentasi kepada sebuah institusi akademik yang unggul dalam bidang ilmu, budaya, bahasa, kesusasteraan, warisan dan tamadun Melayu. Penyatuan APM dengan Jabatan Pengajian Melayu pada tahun 1995 telah memperkukuh peranan akademi ini sebagai pusat kecemerlangan yang bukan sahaja memelihara warisan, tetapi juga menyesuaikan diri dengan tuntutan semasa.

Hari ini, APM terus mengorak langkah sebagai sebuah institusi yang dinamik melalui dua teras utama: 
1.Pengajian Akademik – meliputi program ijazah pertama dan pascasiswazah. Penstrukturan kurikulum yang berteraskan nilai Ilmu, Lestari, Hikmah, Amanah dan Melayu Global (ILHAM) telah memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar untuk sebagai graduan yang berdaya saing, beretika, dan relevan dengan keperluan abad ke-21. 
2.Penyelidikan dan Inovasi – berfokus kepada agenda pendokumentasian, penerbitan, serta penyelidikan transdisiplin yang merentas bidang ilmu. Penyelidikan yang dijalankan tidak hanya memartabatkan ilmu Melayu, bahkan turut menyumbang kepada penyelesaian isu masyarakat kontemporari di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam menghadapi era digital dan globalisasi, APM turut memberi penekanan kepada: 
• pemerkasaan transformasi digital dalam pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan; 
• pembangunan jaringan strategik antarabangsa melalui kerjasama akademik, pertukaran pelajar, serta penglibatan pakar luar negara; 
• usaha melestarikan warisan Melayu sebagai khazanah sejagat yang boleh diteliti, difahami, dan dihargai oleh pelbagai bangsa di seluruh dunia.

Saya yakin bahawa APM akan terus menjadi wadah untuk memacu kecemerlangan ilmu dan menjadi rujukan utama dalam bidang pengajian Melayu. Usaha ini juga sejajar dengan aspirasi Universiti Malaya untuk menjadi universiti terkemuka bertaraf global serta menyokong gagasan Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara kemajuan dan nilai kemanusiaan. Dengan semangat “Pengajian Melayu Merentas Disiplin Ilmu”, marilah kita bersama-sama memperkukuh APM sebagai nadi intelektual bangsa, jambatan antara tradisi dan masa depan, serta penyumbang bermakna kepada pembangunan negara dan tamadun sejagat.

Akhir sekali, saya mengucapkan “Selamat Datang” ke laman sesawang Akademi Pengajian Melayu. Semoga ia menjadi pintu ilmu yang bermanfaat, memberi maklumat yang menyeluruh, serta memudahkan anda mengenali dengan lebih dekat tentang pengajian, penyelidikan, dan pelbagai program yang ditawarkan oleh APM.

Wassalam.


Profesor Madya Dr. Sabzali Musa Kahn
Dekan, Akademi Pengajian Melayu

Last Update: 06/10/2025