Latar Belakang APM

Akademi Pengajian Melayu (APM) telah ditubuhkan pada tahun 1990 hasil daripada Laporan Lembaga Pengajian Mengenai Akademi Pengajian Melayu. Pada masa itu, Akademi Pengajian Melayu memberi tumpuan kepada kegiatan penyelidikan, penerbitan dan pendokumentasian iaitu sebagai pelengkap kepada fungsi yang dijalankan oleh Jabatan Pengajian Melayu (JPM) di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Pada 14 Julai 1995, Jabatan Pengajian Melayu dan Akademi Pengajian Melayu bergabung dengan rasminya untuk menjadi satu institusi akademi di Universiti Malaya. Kegiatan utama APM terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Bahagian Pengijazahan dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan.

Setiap bahagian pula mempunyai jabatan-jabatannya sendiri. Jabatan-jabatan dalam Bahagian Pengijazahan ialah Jabatan Bahasa Melayu, Jabatan Sosio-Budaya/Kesenian Melayu, Jabatan Linguistik Melayu dan Jabatan Kesusasteraan Melayu. Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan merangkumi Penyelidikan, Dokumentasi dan Penerbitan.

Objektif Penubuhan APM


Mencari, mentakrif dan mengembangkan ilmu berdasarkan kebenaran yang bersendikan akidah Islam.

Melahirkan ilmuan Pengajian Melayu yang cemerlang dan berjaya secara duniawi dan ukhrawi.

Menyediakan graduan dan ilmuan yang cekap, berinovatif, beriltizam, beradab, beragama, berwawasan dan peka terhadap perkembangan ilmu agama dan ilmu keduniaan.

Mempertingkatkan serta melengkapkan usaha-usaha pendokumentasian bahan-bahan ilmu berhubung dengan Pengajian Melayu dan memasyarakatkan bahan-bahan tersebut.

Menjadi pusat kegiatan penyelidikan Melayu yang utama dan terpenting di dunia. Merakam, mengumpul, menyimpan, dan memasyarakatkan segala bentuk data tentang Pengajian Melayu.

Menjadi pusat kegiatan Pengajian Melayu yang terunggul di dunia dengan kegiatan seminar, persidangan, dan kegiatan akademik lain yang berhubung dengan orang Melayu.

Jabatan-Jabatan di Akademi Pengajian Melayu

Pada masa ini terdapat empat Jabatan Pengajian Pengijazahan yang mengendalikan kursus-kursus pada peringkat ijazah dasar iaitu :

Jabatan Bahasa Melayu
Jabatan Linguistik Melayu
Jabatan Kesusasteraan Melayu
Jabatan Sosio-Budaya / Kesenian Melayu

Last Update: May 26, 2016