• OCT
  • 04
UM Johan Program Franchise Business Challenge 2016 (FBC 2016)


Universiti Malaya (UM) dinobatkan sebagai johan Program Franchise Business Challenge 2016 (FBC 2016) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang berlangsung di Auditorium, Komples Perdanasiswa, UM, baru-baru ini.

Selaku johan, UM membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penyertaan. Wakil UM terdiri daripada Datcanraw a/l Chandrarao dari Fakulti Kejuruteraan: Liew Mien Jiat, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran; Charroogesinee A/P Radhakrishnan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran; dan Nurul Hanim Muhammad Khairuddin dari Fakulti Sains.

Mereka menampilkan konsep perniagaan francais dikenali sebagai HubBox yang menawarkan perkhidmatan layan diri seperti dobi mesra alam, mesin layan diri untuk makanan dan minuman dan khidmat percetakan di dalam sebuah kontena.

Sementara itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan sebagai naib johan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di tempat ketiga dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di tempat keempat. Naib johan, tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang wang tunai RM10, 000, RM5,000 dan RM2,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri KPDNKK, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin di majlis penutup yang turut dihadiri oleh Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof, Timbalan Naib Canselor, UM.

Program FBC merupakan salah satu komponen di bawah Program Francais Siswa yang diwujudkan untuk memupuk dan membentuk minat, nilai kemahiran dan pengetahuan dalam bidang keusahawanan francais dalam kalangan siswazah universiti.

Ianya dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) melibatkan penyertaan daripada 20 buah universiti tempatan. Menerusi pertandingan ini, setiap universiti diminta tampil dengan idea dan kertas konsep perniagaan francais yang baru dan menarik. Mereka kemudiannya akan diadili oleh wakil-wakil industri yang berpengalaman di dalam bidang francais di negara ini.

Program ini telah bermula sejak Mei yang lalu dan 10 universiti disenarai pendek untuk memasuki pertandingan akhir yang berlangsung semalam di UM.

Oleh  Rohaizan Ramli


 

 


Viewed : 5959 Last Update: October 03, 2016