UM Home | Faculties, Academies, Institutes & Centres | Home
Kata-kata Aluan Pengarah
 
Profesor Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan

 Bismillahhir-Rahmanir-Rahim

Assalammualaikum W.B.T


     Terlebih dahulu saya memanjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan kurnia-Nya saya diberikan kesempatan untuk memberi ucapan alu-aluan untuk laman sesawang Akademi Pengajian Melayu. Akademi ini telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti setiap tahun yang melibatkan staf dan pelajar. Dari segi sejarahnya, Akademi Pengajian Melayu (APM) telah ditubuhkan pada tahun 1990 hasil daripada Laporan Lembaga Pengajian mengenai Akademi Pengajian Melayu. Pada masa itu, Akademi Pengajian Melayu memberi tumpuan kepada kegiatan penyelidikan, penerbitan dan pendokumentasian iaitu sebagai pelengkap kepada fungsi yang dijalankan oleh Jabatan Pengajian Melayu (JPM) di Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Pada 14 Julai 1995, Jabatan Pengajian Melayu dan Akademi Pengajian Melayu bergabung dengan rasminya untuk menjadi satu institusi akademi di Universiti Malaya.

 

       Kegiatan utama APM terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Bahagian Pengijazahan dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan. Bahagian Pengijazahan terdiri daripada Jabatan Bahasa Melayu, Jabatan Sosio-Budaya Melayu, Jabatan Linguistik Melayu, Jabatan Kesusasteraan Melayu, dan Jabatan Kesenian Melayu. Mulai April 2012, Jabatan Sosio-Budaya Melayu dan Jabatan Kesenian Melayu telah digabungkan dari segi pentadbiran, manakala programnya masih lagi dikekalkan dengan pengkhususan masing-masing. Fungsi kegiatan Penyelidikan, Dokumentasi dan Penerbitan diambil alih oleh Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan setelah jabatan-jabatan tersebut dibubarkan. Akademi ini terus berusaha untuk menghasilkan graduan yang kompeten melalui penggalakkan dalam aspek kecemerlangan akademik dan membangunkan kemahiran generik serta meningkatkan penglibatan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

      Berbagai usaha telah dilaksanakan untuk menyokong pencapaian objektif pengantarabangsaan universiti ini termasuk menambah bilangan pakar luar negara melalui perlantikan Pensyarah Kontrak, Profesor Pelawat, Karyawan Tamu/Pakar/Felo Penyelidik dan Pakar Runding. Di samping itu, pelbagai usaha berterusan terus dilaksanakan bagi meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa serta mengadakan program pertukaran pelajar dengan beberapa universiti di luar negara. Akhir kata, diucapkan Selamat Datang ke laman sesawang Akademi Pengajian Melayu. Semoga segala maklumat yang dipaparkan dapat memberi info kepada anda semua. Diharap ia juga dapat memudahkan anda untuk mengakses ke akademi kami untuk mengetahui maklumat yang lebih terperinci mengenai pembelajaran dan kajian serta aktiviti-aktiviti dan program-program yang dianjurkan setiap tahun. Wassalam.

 

Jabatan Bahasa Melayu Jabatan Linguistik Melayu Jabatan Sosio-Budaya/ Kesenian Melayu Jabatan Kesusateraan Melayu
CCM 2.0 EDi - Copyright © 2008 - 2014 University of Malaya, 50603 Kuala Lumpur, MALAYSIA. http://www.um.edu.my